REKA bentuk bangunan itu seakan-akan sebuah bangsal. Namun, bangunan yang disangkakan rumah itu sebenarnya ialah sebuah kilang memproses roti yang masih kekal seperti asalnya walaupun zaman telah berubah. Meninjau kilang yang dikatakan sudah berusia hampir 100 tahun itu, bermula dari pintu gerbang menghala ke ruang masuk utama hingga ke pintu belakang, jelas membayangkan pemiliknya, Mokhtar Amat Mohd. Taqi, 49, sarat dengan nilai-nilai sentimental tersendiri.
Begitupun, mungkin ramai orang luar tidak mengetahui cerita di sebalik kilang roti yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat di kawasan Slim River, Perak itu.
Percaya atau tidak, kilang roti milik arwah bapa Mokhtar iaitu Mohd. Taqi Habib telah wujud hampir 100 tahun lalu berdasarkan maklumat asal usul kilang berkenaan daripada cerita orang tua di situ.
Bagaimanapun, kilang tersebut kemudian dibeli oleh pakcik Mokhtar Abdul Kadir Habib pada tahun 1950-an yang ketika itu baru berhijrah dari Lucknow, Uttar Pradesh, India ke Malaysia.
Dia hanya dapat berniaga buat seketika kerana menemui ajal disebabkan sakit tua. Sebelum itu, arwah mewasiatkan kepada Mokhtar untuk menerajui perniagaan berkenaan untuk melangsaikan hutang-hutangnya. Keistimewaan Roti Babu Mokhtar adalah roti nya dibakar di dalam tempat khas menggunakan dapur arang, berbeza dengan roti yang sedia ada menggunakan oven.
Bermula dari detik itulah, empayar roti keluarga tersebut bermula sehingga hari ini yang diteruskan oleh generasi kedua iaitu Mokhtar sendiri.
Orang ramai yang berminat untuk membeli atau mempelajari ilmu membuat roti boleh menghubungi Mokhtar ditalian 016-5186200 atau ke kilang nya yang beralamat No 1 Kampung Masjid Lama Slim River Perak.
SUMBER : KOSMO ONLINE